KUALA LUMPUR – Penganjuran Festival Rain Rave 2026 yang didakwa bakal berlangsung di Bukit Bintang mencetuskan reaksi bantahan daripada beberapa pihak termasuk pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan pendakwah bebas.
Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya, menyifatkan penganjuran acara berunsur hiburan tersebut sebagai sesuatu yang menyedihkan sekiranya benar dilaksanakan, kerana didakwa tidak menampilkan identiti budaya tempatan.
Menurut beliau, sebarang acara sempena Hari Buruh sepatutnya menonjolkan budaya watan yang unik dan menjadi tarikan kepada pelancong asing, berbanding mengangkat elemen hiburan dari luar negara.
“Jika berita ini benar ia amat menyedihkan. Apa tidaknya, bukan budaya watan di pamerkan tetapi budaya luar yang diangkat.
“Kita tidak ada masalah jika mahu mengadakan apa-apa keramaian sempena Hari Buruh, tetapi biarlah ia membawa identiti negara.
“Yang akan hadir itu saya pasti ramai juga pelancong. Setahu saya mereka lebih seronok melihat budaya watan kerana ia unik dan tidak terdapat di tempat lain.
“Namun kalau setakat menyanyi dan berhibur dengan mempamerkan budaya luar, di negara mereka pun dah banyak.
“Seharusnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) lebih peka dan sensitif perkra ini. Barulah negara nampak ada identiti sendiri dan dunia akan melihatnya dengan kekaguman,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dalam pada itu, pendakwah bebas, PU Syed, turut menyuarakan bantahan keras terhadap penganjuran festival berkenaan yang didakwa boleh membawa kepada aktiviti tidak bermoral.
Beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Menteri Wilayah Persekutuan serta Pejabat Mufti Wilayah mengambil tindakan bagi menghentikan penganjuran acara tersebut.
PU Syed juga menyeru masyarakat khususnya umat Islam untuk bersama-sama menyatakan pendirian dalam membantah program berkenaan demi menjaga moral golongan muda.
“Bagi pemimpin Melayu Islam marilah sama-sama membantah pengajuran yang lagha dan maksiat ini dan menyelamatkan anak-anak muda dari terus hanyut dengan kemurkaan Allah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Aminuddin Yahaya/PU Syed


