KUALA LUMPUR – Kegiatan penjualan dadah sintetik berbahaya dikenali sebagai “dadah zombi” kini dikesan menyusup masuk ke dalam pasaran rokok elektronik (vape), sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan pihak berkuasa.
Dadah jenis furanyl fentanyl, yang dipercayai antara 50 hingga 100 kali lebih kuat daripada morfin, dilaporkan dijual secara terselindung kepada pelanggan tetap di beberapa premis vape.
Kegiatan itu terbongkar menerusi operasi khas Op Vape 1.0 yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bermula 13 April lalu hingga Jumaat, melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM4.6 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi besar-besaran itu membabitkan seramai 1,177 pegawai dan anggota JSJN bersama 2,011 pegawai daripada pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut beliau, hasil serbuan berjaya mengesan aktiviti penjualan dadah dalam premis vape, termasuk penahanan lima individu dalam beberapa serbuan berasingan.
“Dalam serbuan pada 13 April, tiga suspek termasuk seorang wanita dan seorang warga asing berusia antara 23 hingga 31 tahun ditahan di sekitar Taman Bukit Cheras.
“Pemeriksaan menemui sembilan botol cecair disyaki mengandungi furanyl fentanyl seberat 16.8 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Susulan itu, dua lagi suspek berusia 22 dan 25 tahun ditahan dalam serbuan di Taman Mastiara, Sentul, pada Jumaat lalu.
“Di premis vape berkenaan, polis merampas 155 katrij vape mengandungi dadah dipercayai furanyl fentanyl seberat 1.7 kilogram, selain 22 paket MDMA seberat 0.66 kilogram,” jelasnya.
Secara keseluruhan, jumlah rampasan cecair furanyl fentanyl mencecah 18.56 kilogram bernilai RM2.8 juta.
Kelima-lima suspek dipercayai memainkan peranan sebagai penjaga kedai, pemilik, penjaga stor dan ‘runner’, dan kini direman sehingga 24 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, Hussein mendedahkan sebanyak 1,670 premis vape diperiksa, dengan 728 premis didapati melanggar peraturan.
“Sepanjang operasi ini, seramai 20 individu ditahan dengan rampasan melibatkan 8,091 peranti vape, 5,257 katrij, serta 19.67 kilogram dadah.
“Turut dirampas cecair vape tanpa dadah seberat 186.54 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM4.6 juta,” katanya.
KKM turut membuka 487 kertas siasatan, mengeluarkan 142 notis pematuhan, menyita lima premis dan mengeluarkan kompaun terhadap 1,149 premis.
Pendedahan ini sekali lagi membuktikan taktik licik sindiket dadah yang kini mengeksploitasi trend vape bagi menyasarkan pengguna, khususnya golongan muda.


