KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial yang sering mengkritik dasar kerajaan, Lim Sian See mempersoalkan bagaimana RON95 boleh dijual pada harga runcit RM2.05 seliter tanpa kuota, manakala diesel RM2.15 seliter pada 23 Jun 2022 sedangkan ketika itu harga Brent sekitar USD114.50 setong.
Beliau mendakwa, harga minyak dunia ketika itu berada pada paras tinggi susulan pembukaan ekonomi pasca pandemik Covid-19 serta konflik Perang Rusia–Ukraine, namun harga runcit bahan api di Malaysia kekal rendah.
Beliau membandingkan situasi tersebut dengan keadaan semasa di mana harga minyak mentah Brent kini sekitar USD94 hingga USD99 setong, namun harga runcit RON95 dan Diesel lebih tinggi berbanding 23 Jun 2022.
“Pada 16 April 2026 RON95 (bersubsidi BUDI95): RM1.99 seliter (kuota 200L). RON95 (tanpa subsidi): RM4.02 seliter (melebihi kuota). Diesel Semenanjung: RM5.97 seliter. Diesel Sabah dan Sarawak: RM2.15 seliter.
“Tahun 2022 masa (kerajaan) BN-PN minyak dunia lebih mahal sebab pembukaan semula selepas Covid dan perang Ukraine-Rusia berpanjangan, tapi harga runcit lebih rendah.
“Sekarang minyak dunia lebih murah, tapi harga runcit jauh lebih tinggi – siap ada kuota 200 liter dan beza besar antara wilayah. Kalau lebih kuota, kena bayar harga minyak cecah dua kali ganda lebih mahal,” soal beliau dalam satu hantaran di media sosial.
Sian See turut mempersoalkan perbezaan harga diesel antara wilayah yang didakwa boleh mencecah sehingga tiga kali ganda.
Dalam kenyataannya, beliau turut mempersoalkan mengapa harga diesel di Malaysia kini lebih tinggi berbanding Thailand, Vietnam, China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan serta 102 negara lain.
“Kenapa bila kurang empat tahun dahulu boleh buat, kenapa sekarang tak boleh buat? Malah empat tahun dulu tiada cukai LVGT, cukai CGT, cukai dividen, duti setem naik, cukai SST dinaikkan kadar dan diperluaskan dua kali,” soal beliau. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See


