KUALA LUMPUR – Wanita DAP Selangor mempersoalkan pengharaman dua buah buku berkisar tentang perjuangan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) yang didakwa telah lama berada dalam pasaran.
Dalam kenyataan rasmi, sayap wanita itu menyifatkan tindakan itu sebagai membimbangkan serta menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen kebebasan bersuara di negara ini.
Menurut Wanita DAP Selangor, keputusan tersebut mencetuskan persoalan besar kerana salah satu buku berkenaan telah berada di pasaran lebih dua dekad dan masih boleh diakses oleh pembaca sebelum larangan dikenakan secara tiba-tiba.
“Kenapa sekarang?” soal mereka, merujuk kepada masa keputusan itu dibuat.
DAP Wanita Selangor turut menyatakan solidariti terhadap Naib Pengerusinya, Jamaliah Jamaluddin, yang juga cucu kepada Allahyarham Shamsiah Fakeh selepas beliau meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, akses kepada
ilmu serta kepelbagaian pandangan merupakan elemen penting dalam sesebuah masyarakat demokratik yang sihat selain menegaskan rakyat Malaysia kini lebih matang dan mampu menilai maklumat secara kritikal.
“Rakyat tidak wajar dianggap tidak mampu berfikir, menilai atau membuat keputusan sendiri,” menurut kenyataan tersebut.
Organisasi itu turut menegaskan bahawa keputusan melarang buku tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya memerlukan garis panduan yang jelas, konsisten dan telus untuk memastikan akauntabiliti.
Mereka memberi amaran bahawa keputusan yang dilihat tidak konsisten boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi negara terutama ketika Malaysia berusaha memperkukuh nilai demokrasi dan integriti pentadbiran.
“Malaysia harus kekal sebagai negara yang meraikan idea, bukan menindasnya; mempercayai rakyat, bukan menyekat mereka,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu diakhiri dengan penegasan bahawa demokrasi hanya akan berkembang apabila semua suara diberi ruang untuk didengar, bukan disenyapkan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DAP Wanita Selangor


