KUALA LUMPUR – Harga minyak dunia dilaporkan merosot selepas Iran mengumumkan pembukaan penuh Selat Hormuz kepada semua kapal komersial sepanjang tempoh gencatan senjata, menurut laporan The Wall Street Journal.
Penurunan itu didorong oleh reaksi positif pedagang yang melihat langkah tersebut sebagai isyarat pengurangan ketegangan di rantau Asia Barat sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam kenyataannya di platform X hari ini berkata, laluan perkapalan di Selat Hormuz kini dibuka sepenuhnya sepanjang baki tempoh gencatan senjata.
Katanya, keputusan itu selaras dengan perjanjian damai yang dicapai susulan konflik di Lubnan.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut dilaporkan mengesahkan perkembangan tersebut menerusi hantaran di Truth Social dengan menyatakan bahawa laluan di selat berkenaan kini “dibuka sepenuhnya dan bersedia untuk laluan penuh”
Terdahulu, Araghchi memaklumkan pembukaan Selat Hormuz adalah sebahagian daripada usaha gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan Amerika Syarikat melibatkan Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, susulan persetujuan antara Israel dan Lubnan.
Beliau turut menegaskan semua kapal komersial perlu mematuhi laluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa maritim Iran bagi memastikan keselamatan pelayaran sepanjang tempoh tersebut. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Website WSJ


