KUALA LUMPUR – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) meminta kerajaan memberi pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar yang terdiri dalam kalangan wartawan, jurugambar serta juruvideo untuk terus menerima kuota subsidi 300 liter petrol RON95.
GKMM dalam satu kenyataan berkata, keputusan kerajaan menghadkan kuota BUDI RON95 kepada 200 liter sebulan berbanding kuota sebelum ini sebanyak 300 liter mula memberi cabaran besar buat pengamal media dalam menyempurnakan tugasnya di lapangan.
Justeru, kata GKMM, pemberian 300 liter petrol RON95 bersubsidi akan membantu pengamal media dalam menyempurnakan serta melancarkan kerja-kerja liputan mereka di lapangan, selain meringankan beban ditanggung terutama dalam mendepani situasi kenaikan kos yang cukup mencabar ketika ini.
“GKMM menerima banyak keluhan dari pengamal media khususnya yang bertugas di negeri-negeri, yang perlu menempuh jarak perjalanan jauh serta perlu berulang alik ke lokasi liputan setiap hari menyebabkan kuota 200 liter yang diterima habis lebih awal sebelum sampai tempoh kuota berakhir pada setiap hujung bulan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, GKMM memaklumkan pihaknya memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan hingga kini kesan ketegangan di Asia Barat.
GKMM menyambut baik usaha dan komitmen kerajaan meneruskan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat Malaysia terutama menerusi kuota 200 liter di bawah BUDI RON95, RM2.15 seliter bagi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, di samping bantuan menerusi BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.
GKMM juga menyedari peningkatan kos dan belanja subsidi bahan bakar yang ditanggung kerajaan bagi menjamin rakyat terus menikmati harga berpatutan atau lebih rendah, sungguhpun harga pasarannya sudah menyaksikan peningkatkan begitu ketara dalam tempoh tersingkat ini. – MYNEWSHUB


