KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia mendedahkan pertemuan pertamanya dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai satu pengalaman “spektakular” yang membuka lembaran baharu dalam kariernya di Malaysia.
Dalam temu bual bersama The Guardian, bekas pemain Liverpool FC itu berkata, beliau tertarik dengan visi dan pengetahuan mendalam Tunku Mahkota Ismail terhadap bola sepak.
“Saya pergi bertemu putera itu dan mendengar sendiri idea-ideanya. Ia sangat menakjubkan. Baginda sangat aktif, penuh rasa ingin tahu dan juga mempunyai kemahiran bola sepak yang baik,” katanya.
Garcia turut berkongsi bahawa beliau sendiri menyaksikan kemampuan Tunku Mahkota Ismail di atas padang apabila beraksi bersama legenda seperti Robert Pires dan Ludovic Giuly.
“Saya melihat baginda bermain dalam satu perlawanan bersama bekas pemain hebat, dan baginda menjaringkan gol yang sangat menarik.
“Malah, baginda juga membuat bantuan gol kepada saya. Baginda benar-benar memahami permainan ini dan tahu apa yang dimahukan,” katanya lagi.
Menurut Garcia, keputusan menyertai JDT bermula apabila beliau menerima panggilan untuk bertemu Tunku Mahkota Ismail selepas diperkenalkan oleh Kiko Insa.
Walaupun ketika itu beliau selesa bekerja sebagai pundit bersama ESPN, Garcia mengakui tertarik dengan cabaran baharu yang ditawarkan oleh kelab selatan tanah air itu.
“Kenapa saya dipilih? Saya sendiri tidak pasti. Namun baginda mahukan seseorang yang mempunyai latar belakang bola sepak serta visi berbeza berdasarkan pengalaman di pelbagai benua,” katanya.
Garcia menegaskan JDT kini berkembang pesat sejak penstrukturan semula kelab pada 2013, dengan kejayaan meraih 12 kejuaraan liga serta diiktiraf sebagai kelab nombor satu Asia Tenggara oleh Opta.
Beliau turut menjelaskan bahawa operasi kelab kini dijalankan secara profesional setaraf Eropah, termasuk penggunaan analisis prestasi, struktur kejurulatihan lengkap serta pengurusan intensiti permainan yang tinggi.
Dalam perkembangan sama, Garcia memuji bakat tempatan seperti Arif Aiman Hanapi yang disifatkannya sebagai “permata Malaysia” dan berpotensi beraksi di Eropah.
Mengulas prestasi semasa, beliau berkata, JDT terus mendominasi saingan domestik dengan rekod tanpa kalah yang panjang, selain mencipta sejarah mara jauh dalam Liga Juara-Juara Asia.
“Bola sepak Malaysia sedang membuat kemajuan besar. Ia mungkin masih jauh berbanding Eropah, namun perkembangan itu amat ketara,” katanya. – MYNEWSHUB


