KUALA LUMPUR – Krematorium penganut Hindu atau rumah bakar mayat akan dibina dengan kos RM1.5 juta di Jalan Siram, Butterworth, Pulau Pinang.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan RM1.5 juta tersebut.
Menurut beliau, projek itu merupakan satu-satunya kemudahan seumpamanya di kawasan Seberang Perai yang akan dibangunkan dalam Parlimen Bagan.
Ahli Parlimen Bagan itu turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo, serta Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang yang memainkan peranan dalam mendapatkan kelulusan peruntukan tersebut.
Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi pengecualian pelan kebenaran merancang (PKM) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang akan membina sebuah bangunan membakar mayat dengan kemudahan dua unit membakar mayat.
“Dengan peruntukan yang diterima daripada Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu jumlahnya RM1.5 juta,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


