KUALA LUMPUR – DAP Johor menyambut baik cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali mendakwa, penangguhan itu demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik.
“Cadangan ini dilihat sebagai satu langkah ke arah memastikan kestabilan politik yang lebih mampan.
“Sekali gus mengelakkan kitaran pilihan raya yang terlalu kerap sehingga menjejaskan fokus pentadbiran kerajaan,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Sheikh Omar berkata, dunia berdepan tekanan ekonomi yang ketara akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global, termasuk konflik geopolitik yang memberi kesan kepada harga minyak dan rantaian bekalan.
Menurut beliau, keadaan itu turut memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat di Malaysia.
“Sehubungan itu, DAP Johor berpendirian bahawa keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi, peningkatan peluang pekerjaan serta usaha menangani tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya.
Dakwa beliau lagi, penyelarasan PRN secara serentak juga berpotensi menjimatkan kos awam dan meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan berkaitan penangguhan PRN perlu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Perlembagaan, pandangan semua pihak berkepentingan serta prinsip demokrasi yang matang. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sheikh Omar Ali


