KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kini berada pada titik penting dalam peralihan daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pendekatan lebih strategik menerusi pembangunan Bandar AI (kecerdasan buatan)
Menurut beliau, langkah itu merupakan asas penting bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah Negara AI yang berdaya saing di peringkat global.
Katanya, peralihan tersebut bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, sebaliknya memerlukan transformasi menyeluruh dalam aspek perancangan, tadbir urus dan pengurusan bandar
“Pendekatan ini akan menjadikan bandar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti dan menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI untuk Malaysia.
Anwar berkata, usaha itu memerlukan ekosistem kukuh yang merangkumi tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan data yang selamat, pembangunan infrastruktur digital berkapasiti tinggi serta pengukuhan bakat tempatan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kerangka dasar dan perundangan yang mampu menyokong inovasi secara bertanggungjawab.
Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan bersetuju supaya Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat semua kementerian dan agensi berkaitan.
“Kerajaan akan terus memperkukuh sinergi ini bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan berimpak tinggi, demi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara AI yang kompetitif di peringkat antarabangsa. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


