PETALING JAYA, 8 April 2026 – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kenyataan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berhubung keengganan republik itu berunding dengan Iran mengenai laluan Selat Hormuz sebagai mencerminkan pendirian strategik yang sempit.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar berkata, pandangan tersebut bukan sahaja mengecewakan, malah dilihat mengutamakan penjajaran geopolitik berbanding tanggungjawab serantau serta prinsip undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, situasi di Iran ketika ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas, termasuk kesan konflik yang telah mengorbankan nyawa orang awam serta memusnahkan infrastruktur negara itu.
“Penguasaan Iran terhadap Selat Hormuz dilihat sebagai usaha untuk mencapai keamanan yang lebih berkekalan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia secara konsisten menegaskan bahawa pendekatan diplomasi perlu diutamakan dalam menangani konflik antarabangsa, bukannya menjauhkan diri daripada rundingan.
Katanya, penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu ini berlandaskan kepentingan kestabilan serantau, keselamatan tenaga serta kepentingan lebih luas Asia Tenggara.
“Untuk menolak pendekatan ini, walaupun secara tersirat, seolah-olah menafikan peranan diplomasi yang selama ini menjadi asas keamanan di rantau ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, PKR turut membangkitkan kebimbangan terhadap nada kenyataan Balakrishnan yang didakwa lebih cenderung kepada kepentingan kuasa luar, sekali gus berpotensi menggugat prinsip diplomasi bebas dan seimbang yang sekian lama menjadi pegangan ASEAN.
“Sejarah menunjukkan bahawa menjauhkan diri daripada dialog hanya akan membawa kepada peningkatan ketegangan, bukannya kestabilan,” katanya lagi.
Nurul Izzah turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri atau menerima tekanan mana-mana pihak dalam menentukan pendekatan diplomasi negara.
Beliau bagaimanapun mengakui Balakrishnan berhak menyuarakan pandangan, namun mengingatkan bahawa sikap terlalu cenderung kepada naratif kuasa besar tidak mencerminkan pendirian neutral yang sebenar.
“Dalam saat dunia berdepan ketegangan, rantau ini memerlukan suara yang mampu membina jambatan, bukan memperdalam jurang perpecahan,” ujarnya.
PKR menegaskan Malaysia akan terus komited memperjuangkan pendekatan diplomasi yang jelas, tegas dan bebas demi memastikan keamanan serta kestabilan serantau terus terpelihara.
Dr Vivian sebelum ini menegaskan negaranya tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan dengan Iran berhubung laluan selamat kapal atau kadar tol di Selat Hormuz, selaras dengan prinsip berkecuali yang diamalkan negara itu.
Beliau berkata, republik berkenaan berpegang kepada pendirian bahawa laluan Selat Hormuz adalah hak semua negara dan bukan keistimewaan yang ditentukan oleh negara yang bersempadan dengannya. – MYNEWSHUB


