KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyuarakan kebimbangan serius terhadap kegagalan kerajaan dalam membendung kegiatan sindiket penipuan atau scam yang semakin berleluasa di negara ini.

Dalam satu kenyataan media bertarikh 7 April, Pemangku Ketua Bersekutu Bersatu, Sanjeevan Ramakrishnan berkata, sindiket scam kini bukan lagi beroperasi secara kecil-kecilan, sebaliknya telah berkembang menjadi jenayah terancang yang sistematik serta merentas sempadan.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan sedia ada dilihat tidak mencukupi dan gagal memberi kesan pencegahan yang berkesan.
“Penggunaan peruntukan seperti Seksyen 120 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dilihat tidak setimpal dengan skala serta impak jenayah scam yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada rakyat setiap tahun,” katanya.
Tambah beliau, undang-undang sedia ada juga terlalu umum dan ringan, sedangkan jenayah scam kini melibatkan elemen penipuan terancang, eksploitasi teknologi serta rangkaian antarabangsa yang kompleks.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera meminda Seksyen 420 Kanun Keseksaan agar lebih spesifik, komprehensif dan relevan dalam menangani jenayah scam moden.
Antara cadangan dikemukakan termasuk takrifan lebih jelas terhadap penipuan digital, hukuman lebih berat sebagai langkah pencegahan, serta peruntukan khas bagi mengekang dalang dan rangkaian kewangan sindiket.
“Kerajaan tidak boleh terus bersikap reaktif dan bergantung kepada undang-undang lapuk untuk menangani jenayah abad ke-21,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa isu scam bukan sekadar jenayah biasa, sebaliknya melibatkan keselamatan ekonomi rakyat serta kredibiliti institusi negara.
“Setiap hari kelewatan bermakna lebih ramai rakyat menjadi mangsa, kehilangan wang simpanan, masa depan dan kepercayaan terhadap sistem,” katanya.
Bersatu turut menggesa kerajaan agar bertindak segera dengan reformasi undang-undang yang berani dan menyeluruh, bukan sekadar retorik semata-mata.


