KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyindir kerajaan berhubung pelaksanaan inisiatif Madani Mart dengan menyatakan idea tersebut bukanlah sesuatu yang baharu.
Menurut beliau, konsep seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini menerusi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), namun menerima kritikan hebat daripada pihak pembangkang ketika itu.
“Alhamdulillah dulu kita ada Kedai Rakyat 1Malaysia, tetapi pembangkang mengutuk kedai tersebut pada masa itu.
“Kini pembangkang tersebut menjadi kerajaan dan mengemukakan idea yang sangat bernas iaitu membuka Madani Mart pula,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan terdahulu kerana memperkenalkan idea berkenaan yang menurutnya diteruskan oleh kerajaan hari ini.
“Tahniah kerajaan Barisan Nasional (BN), idea dan polisi yang bagus dan diteruskan oleh kerajaan hari ini walaupun mereka pernah mengutuk idea tersebut. Yang baik kita akan terus sokong,” katanya.
Untuk rekod, pelaksanaan KR1M bagi membantu kos sara hidup rakyat dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


