KUALA LUMPUR – Harga minyak mencecah sekitar AS$115.55 setong, manakala kos subsidi meningkat daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh singkat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesan kenaikan itu turut dirasai lebih 8.1 juta masyarakat desa di seluruh negara.
“Daripada pekebun kecil, petani, nelayan hinggalah komuniti Orang Asli. Justeru, peranan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW hari ini semakin penting.
“Kita perlu menjadi benteng utama memastikan rakyat desa mampu bertahan dan terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, situasi yang berlaku di peringkat global ketika ini termasuk ketegangan geopolitik dan lonjakan harga minyak dunia telah memberi kesan langsung kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, respons kerajaan mesti jelas dan berfokus dengan menangani tekanan jangka pendek secara segera dan bersasar.
Tambah beliau, negara juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada kos yang mudah dipengaruhi oleh ketidaktentuan global.
“Membina sumber pertumbuhan baharu dengan mencipta nilai daripada kekuatan dan sumber yang sedia ada di desa.
“Saya yakin, dengan pendekatan lebih berani dan tersusun serta komitmen seluruh warga KKDW, kita mampu memastikan desa terus bertahan dan berkembang dalam apa jua keadaan,” katanya. MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahid Hamidi


