SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam sekali lagi memutuskan kemenangan memihak kepada Yayasan Qubra dalam kes melibatkan pertikaian tanah yang didakwa diceroboh sebuah kuil, hari ini.
Keputusan terbaharu itu menyaksikan Mahkamah Tinggi membatalkan perintah terdahulu oleh Mahkamah Majistret yang sebelum ini mengarahkan kerja-kerja merobohkan struktur di atas tanah berkenaan dihentikan sementara.
Hakim Mahkamah Tinggi, Suriyati Hashimah, dilapor membenarkan rayuan dikemukakan pihak Yayasan Qubra.
Ini merupakan kali kedua keputusan Mahkamah Majistret dalam isu sama dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, menguatkan kedudukan undang-undang pemilik tanah dalam kes tersebut.
Sebelum ini, keputusan Majistret yang membenarkan reman terhadap beberapa individu turut dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, menunjukkan wujud kelemahan dalam pertimbangan awal di peringkat mahkamah rendah.
Dengan keputusan terkini ini, kedudukan Yayasan Qubra sebagai pemilik sah tanah berkenaan terus diperkukuh, manakala tindakan lanjut dijangka bergantung kepada proses undang-undang seterusnya.
Dalam pada itu, barisan peguam yang mewakili pihak berkaitan, termasuk Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (GERAM), turut menzahirkan penghargaan terhadap keputusan mahkamah yang disifatkan memberi keadilan kepada pemilik tanah.
Kes ini terus menjadi perhatian umum memandangkan ia menyentuh isu sensitif berkaitan pemilikan tanah, perundangan serta keharmonian masyarakat pelbagai agama di negara ini.
Kandungan berita di atas dipetik akaun media sosial pendakwah terkenal, Firdaus Wong. –MYNEWSHUB



