RANTAU – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir memuji kemeriahan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Luar, Mohamad Hasan yang berlangsung di Rantau semalam.
Menurut beliau, suasana majlis tersebut cukup meriah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum di rumah Timbalan Presiden UMNO itu seawal pagi lagi.
“Alhamdulillah, berkesempatan hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hasan di Rantau.
“Suasana cukup meriah, awal pagi masyarakat pelbagai kaum dah hadir,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Tambah beliau, majlis itu turut menjadi platform pertemuan semula bersama kenalan lama termasuk duta-duta serta rakan politik dari pelbagai tempat.
“Paling seronok, dapat berjumpa semula ramai duta-duta yang juga merupakan kenalan ketika saya menjadi Menteri Luar sebelum ini dan juga kawan-kawan politik dari merata tempat yang datang,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada tuan rumah atas jemputan serta hidangan yang disediakan.
“Terima kasih Tok Mat atas jemputan. Makanan semua memang padu, semuanya sodap-sodap,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zambry Abd. Kadir


