Oleh Mynewshub
MERBOK, KEDAH – Kes pembunuhan tragis melibatkan sebuah keluarga di Kampung Belau di sini terbongkar selepas jiran terhidu bau busuk dari sebuah rumah yang didiami pasangan suami isteri bersama anak lelaki mereka.

Mangsa dikenali sebagai Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, manakala suspek adalah anak lelaki mereka berusia 29 tahun.
Menurut maklumat awal, jiran mula berasa pelik apabila pasangan terbabit tidak kelihatan keluar rumah selama beberapa hari sebelum keadaan menjadi mencurigakan dengan kehadiran bau busuk yang semakin kuat.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat kira-kira jam 12.30 tengah malam, malam Rabu (Hari Raya kelima).
Pasukan polis yang tiba di lokasi mendapati rumah berkenaan berkunci dari dalam sebelum bertindak memecah masuk.
Hasil pemeriksaan menemui:
Mayat pasangan suami isteri di bahagian dapur dalam keadaan tidak sempurna dan dipercayai telah disorok.
Mayat anak lelaki (suspek) di tingkat atas rumah dengan kecederaan pada leher.
Siasatan awal mendapati mayat kedua-dua mangsa dipercayai telah berada di dalam rumah lebih 48 jam.
Polis turut menemui kesan darah di beberapa bahagian rumah serta beberapa senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian.
Kes dipercayai berlaku sekitar Hari Raya ketiga, dengan siasatan awal menjurus kepada pembunuhan oleh anak terhadap ibu bapanya sebelum suspek dipercayai bertindak membunuh diri.
Difahamkan, suspek mempunyai sejarah masalah kesihatan mental sebelum ini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketiga-tiga mayat telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.-MYNEWSHUB


