KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyuarakan kebimbangan terhadap nasib pesawah padi yang didakwa paling terkesan susulan kenaikan harga diesel yang kini mencecah RM4.72 seliter iaitu tertinggi dalam sejarah negara.
Menurut beliau, waktu ini pesawah berada dalam fasa kritikal kerana ada yang dalam musim menuai dan ada juga yang bermula dalam persediaan musim baharu, tetapi dalam masa yang sama negara berdepan musim kemarau.
Dakwa beliau, banyak kawasan sawah menyaksikan padi menjadi hampa menyebabkan hasil terjejas dan pesawah terpaksa mengeluarkan kos tambahan disebabkan kenaikan harga diesel hingga ada yang menanggung kerugian.
“Lebih mendesak, jentera penuai dan pembajak hingga kini tidak termasuk dalam skop bantuan Budi-Agri Madani, manakala subsidi RM160 sehektar bagi kerja membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian, jelas tidak lagi mencerminkan realiti kos semasa.
“Persoalan juga timbul berhubung Insentif Tunai RM600 kepada pesawah. Apakah benar pesawah tidak menerima bantuan ini sejak dua musim berturut-turut?,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamzah berkata, pembangkang bimbang jika kerajaan tidak menangani isu itu dengan segera akan menyebsbkan krisis harga minyak akan menjadi krisis keselamatan bekalan makanan.
Justeru, katanya, pembangkang berharap kerajaan akan mengambil langkah intervensi dengan segera termasuk melaksanakan Pelan Kontinjensi Nasional dengan mengambil kira keadaan konflik di rantau Teluk.
“Ianya harus jelas dan menyeluruh supaya semua pihak sama ada kerajaan mahu pun rakyat bersedia menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan.
“Jangan sesekali bersikap defensif terhadap teguran atau cadangan yang diberikan. Negara perlukan kepimpinan yang mendengar denyut nadi rakyat, yang memahami realiti sebenar di bawah sana dan sentiasa jujur dalam setiap tindakan,” katanya. – MYNEWSHUB


