SEREMBAN, 23 Mac – Sebuah kedai buku bersejarah yang telah beroperasi hampir 70 tahun musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Jalan Datuk Sheikh Ahmad, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, api dilaporkan marak dengan pantas sehingga membabitkan tiga lot kedai dua tingkat.

Premis lama berkenaan dipercayai menyimpan pelbagai bahan mudah terbakar seperti buku dan alat tulis, sekali gus mempercepatkan kebakaran merebak.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Zamhuri Zainnordin, struktur bangunan lama yang kebanyakannya berasaskan kayu turut menyukarkan usaha pemadaman.
“Bangunan ini adalah kategori warisan dengan lantai kayu serta simpanan buku yang banyak. ‘Fire load’ sangat tinggi menyebabkan api cepat merebak, termasuk di bahagian stor penyimpanan di tingkat atas,” katanya.
Operasi pemadaman melibatkan jentera khas termasuk ‘Aerial Ladder Platform’ serta bantuan anggota dari empat balai bomba, antaranya Seremban, Mantin dan Nilai, selain dua pasukan bomba sukarela.

Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 11.30 malam, sekali gus mengelakkan kebakaran daripada merebak ke deretan 13 kedai lama berhampiran.
Difahamkan, kedai buku tersebut telah diusahakan oleh tiga generasi dan menjadi antara lokasi utama warga Seremban mendapatkan keperluan persekolahan serta bahan bacaan sejak puluhan tahun lalu.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kehilangan premis ini bukan sahaja melibatkan kerugian harta benda, malah turut memadamkan sebahagian memori lama masyarakat setempat yang membesar bersama kedai buku tersebut.
