Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai supaya berwaspada dan lebih peka berikutan cuaca panas ketika ini.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, KKM memaklumkan sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas telah dilaporkan sepanjang tahun 2026 termasuk satu kes kematian menyayat hati melibatkan seorang kanak-kanak.
Menurut KKM, keadaan cuaca panas melampau ketika ini menuntut orang ramai agar lebih peka terhadap tahap kesihatan diri dan individu di sekeliling.
“Awasi tanda-tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa dan peningkatan suhu badan.
“Sekiranya mengalami simptom tersebut, segera ambil langkah pencegahan seperti mencari tempat teduh, minum air kosong dengan kerap serta menyejukkan badan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KKM turut memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga agar tidak meninggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit.
Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk sentiasa memastikan tubuh kekal terhidrat dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
KKM turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang tempoh cuaca panas ini. – MYNEWSHUB


