Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, berkongsi khabar gembira apabila selamat melahirkan sepasang bayi kembar lelaki pada 14 Mac lalu.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau memaklumkan bahawa kedua-dua bayi tersebut dilahirkan pada usia kandungan 35 minggu.
Menurut perkongsian itu, bayi kembar berkenaan merupakan kembar seiras jenis Monochorionic Diamniotic (MCDA), iaitu berkongsi satu plasenta tetapi mempunyai kantung amnion yang berasingan.
“Sekiranya anda tertanya-tanya mengapa perut ibu kelihatan sangat besar sejak beberapa bulan lalu… kejutan! Sebenarnya kami berdua berada di dalamnya,” menurut hantaran tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa kehamilan kembar kali ini lebih mencabar dari segi fizikal dan emosi berbanding ketika mengandungkan tiga anak lelakinya sebelum ini.
“Sepanjang mengandungkan kami, ibu berdepan cabaran yang lebih besar dari segi fizikal dan emosi berbanding ketika mengandungkan tiga abang kami, lebih-lebih lagi pada usia ini,” katanya.
Tambahnya, pasangan tersebut pada awalnya berharap bayi kembar itu kekal lebih lama dalam kandungan bagi membolehkan mereka membesar dengan lebih sempurna.
“Namun kami terlalu teruja untuk bertemu semua orang, lalu membuat kemunculan pada usia kandungan 35 minggu pada 14 Mac 2026,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa syukur apabila keseluruhan tempoh kehamilan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi besar dan kedua-dua bayi dilahirkan dalam keadaan sihat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Yeo Bee Yin


