Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli meteorologi atas komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terpelihara melalui penyampaian maklumat cuaca yang berterusan.
Menurut beliau, setiap ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan mempunyai satu tujuan utama iaitu untuk melindungi rakyat daripada sebarang risiko bencana.
“Setiap ramalan cuaca yang kita dengar, setiap amaran yang dikeluarkan, semuanya membawa satu tujuan iaitu untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian bersempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026, sambil merakamkan penghargaan khusus kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) atas dedikasi mereka dalam memantau, menganalisis serta menyalurkan maklumat cuaca kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata tema tahun ini ‘Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok’ amat bertepatan dengan peranan penting sektor meteorologi dalam memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
“Peranan meteorologi menjadi semakin penting dalam memastikan setiap langkah yang diambil hari ini mampu melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut berharap segala usaha dan komitmen berterusan oleh pihak berkaitan akan terus dipermudahkan demi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Terima kasih atas dedikasi dan usaha berterusan. Semoga segala usaha ini terus dipermudahkan, insya-Allah,” katanya lagi.
Ahmad Zahid turut mengucapkan Selamat Hari Meteorologi Sedunia 2026 kepada semua yang terlibat dalam bidang tersebut. – MYNEWSHUB


