Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan pembukaan Night Zoo di Zoo Johor bermula 27 Mac ini, sekali gus menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung menikmati suasana zoo pada waktu malam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, inisiatif tersebut merupakan antara usaha memperkasa sektor pelancongan negeri selaras dengan titah Tunku Mahkota Ismail yang mahu Zoo Johor dinaik taraf kepada konsep Night Zoo sebagai mercu tanda baharu.
“Syukur Alhamdulillah, Night Zoo Johor bakal dibuka kepada umum bermula 27 Mac ini, sekali gus membawa satu pengalaman baharu kepada Bangsa Johor dan para pelancong untuk menikmati keindahan zoo pada waktu malam, lengkap dengan lebih 35 spesies baharu yang menarik,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut beliau, projek naik taraf tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM8.73 juta merangkumi penambahbaikan sistem saliran, pembentungan, pencawang elektrik serta pencahayaan bagi memastikan suasana lebih selesa dan selamat.
Night Zoo itu akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad dari pukul 8 malam hingga 11 malam dengan kemasukan terakhir pada pukul 10 malam.
Harga tiket ditetapkan RM10 bagi dewasa warganegara, RM5 untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas serta warga emas, RM30 bagi pelancong asing, manakala kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak bawah lima tahun dan pemegang kad OKU.
Antara tarikan utama yang disediakan ialah siri ‘feeding show’ melibatkan haiwan nokturnal, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan sendiri gelagat semula jadi haiwan ketika waktu paling aktif dalam suasana lebih dekat dan interaktif.
Dalam pada itu, aspek keselamatan turut diberi perhatian serius dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA serta pengawal zoo menerusi rondaan berkala selain penempatan ambulans di lokasi.
Kerajaan negeri berharap inisiatif tersebut mampu memberi manfaat kepada Bangsa Johor serta menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara. – MYNEWSHUB


