Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Suasana penuh meriah menyelubungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Istana Johor apabila kira-kira 25,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Padang Kawat, Istana Besar Johor, semalam.
Kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus menggambarkan kasih dan kesetiaan rakyat terhadap institusi diraja negeri itu, sekali gus menjadikan majlis berkenaan antara yang paling mendapat sambutan hangat tahun ini.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah.
Turut berangkat, Tunku Mahkota Ismail yang hadir diiringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda serta Tunku Iskandar bersama paduka anakanda lain.
Tidak ketinggalan, beberapa lagi kerabat diraja Johor termasuk Tunku Idris Iskandar, Tunku Abdul Rahman, Tunku Abu Bakar serta Tunku Tun Aminah bersama suami turut berangkat memeriahkan majlis.
Orang ramai dilihat berpusu-pusu mengambil peluang untuk bersalaman dan beramah mesra dengan Keluarga Diraja Johor, malah ada yang sanggup beratur demi merasai sendiri suasana istimewa tersebut.
Majlis berlangsung dalam suasana penuh harmoni, dengan gelak tawa dan wajah ceria jelas terpancar dalam kalangan pengunjung yang hadir bersama keluarga masing-masing.
Sambutan luar biasa itu sekali lagi membuktikan hubungan erat antara rakyat Johor dan institusi diraja yang terus utuh serta disanjung tinggi. – MYNEWSHUB


