Oleh Mynewshub
PETALING JAYA – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa meluahkan rasa sayu kerana keluarganya masih menyambut Aidilfitri tahun ini tanpa bapanya.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, beliau mengakui keluarganya mengharapkan satu pertemuan penuh bermakna pada Syawal kali ini, namun ia masih belum menjadi kenyataan.
“Kami berharap, kami berdoa tetapi masih belum ada rezeki lagi untuk satu pertemuan manis kepulangan ke rumah pada raya keempat ini tanpa Daddy Bossku. Apa pun, syukur keluarga sihat,” katanya.
Dalam pada itu, Nooryana Najwa yang lebih mesra dengan panggilan Yana meluahkan perasaan gembira melihat kehadiran generasi baharu dalam keluarganya.
“Seronok melihat generasi seterusnya teruja menyambut faya seperti mana kami dahulu ketika masih kecil.#teambossku #raya2026#teamhijau”,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember tahun lalu memaklumkan bahawa tahanan rumah dalam permohonan Najib tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.
Hakim Alice Loke Yee Ching dipetik berkata demikian ketika menolak permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Beliau juga dilaporkan berkata, titah itu tidak dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024, sekali gus tidak mematuhi tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Alice Loke turut menegaskan bahawa titah itu bukan perintah yang sah dalam pelaksanaan prerogatif ihsan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Yana Najib


