KLUANG, 21 Mac 2026 – Tindakan berani mati dua penunggang motosikal menunggang secara melawan arus di Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam akhirnya membawa padah apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh, berkata pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 2 minit 16 saat yang tular di media sosial pada 19 Mac lalu, memaparkan aksi berbahaya tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 5 Mac 2026 di Kilometer 76 hingga 75, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam melibatkan dua motosikal jenis Yamaha 135LC dan Modenas Kriss.
“Kedua-dua penunggang lelaki tersebut didapati menunggang secara melawan arus tanpa memakai topi keledar, malah dipercayai saling kejar-mengejar walaupun terdapat kenderaan lain di laluan bertentangan sehingga hampir menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kluang telah menahan salah seorang suspek pada 20 Mac bagi membantu siasatan lanjut.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Dalam masa sama, polis sedang mengesan seorang lagi penunggang yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822 bagi menyalurkan maklumat.
Polis turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang, mengutamakan keselamatan dan tidak melakukan tindakan berbahaya yang boleh mengundang tragedi.
— Mynewshub
