Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tampil dengan nada terbuka dan berterus terang apabila mengakui bahawa harga serta situasi bekalan makanan negara boleh berubah pada bila-bila masa.
Dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026, beliau tanpa berselindung menjelaskan mengenai cabaran sebenar yang sedang dihadapi negara susulan konflik global yang masih berlarutan.
“Ramai penganalisis dalam dan luar negara menjangkakan konflik ini tidak akan selesai dalam masa singkat. Ertinya, tekanan kepada harga makanan dunia mungkin berpanjangan.
“Justeru saya ingin jujur dengan semua, harga dan situasi bekalan boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, Mohamad berkata, kesan konflik di Asia Barat sudah mula dirasai oleh dunia bila harga minyak dan gas naik, kos logistik melonjak, harga baja dan komoditi makanan dunia pun terkesan.
Menurut beliau, keadaan yang berlaku ribuan kilometer dari Malaysia itu boleh terasa sampai ke dapur rumah rakyat negara ini.
Dalam masa sama, katanya, peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia juga dijangka menambah permintaan terhadap bekalan makanan dalam negara, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada pasaran tempatan.
Walaupun memberi amaran awal, Mohamad tetap memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.
Katanya, kementerian bersama agensi berkaitan sedang memantau keadaan bekalan dan harga setiap hari dan kerajaan bersedia bertindak pantas jika berlaku gangguan.
Sehubungan itu, Mohamad Sabu menyeru rakyat supaya tidak panik atau membuat pembelian berlebihan hanya kerana khabar angin.
“Dalam keadaan begini, saya ingin menyeru semua supaya jangan lakukan pembelian panik. Jangan kerana satu dua khabar angin, kita membeli berlebihan.
“Belilah ikut keperluan, berbelanja secara berhemah dan elakkan pembaziran,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohamad Sabu


