Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung kehadiran, tujuan serta status aset tentera laut Amerika Syarikat (AS) di perairan Malaysia khususnya di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan tersebut termasuk sama ada aset ketenteraan itu dalam transit atau dari penugasan operasi di kawasan seperti Selat Hormuz.
“Kehadiran aset tersebut di perairan negara menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan memudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik negara luar.
“Keadaan ini berpotensi menimbulkan persepsi yang bercanggah dengan pendirian berkecuali Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat dan imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, Takiyuddin berkata, aset ketenteraan AS yang dilaporkan itu termasuk kapal pemusnah periuk api yang lazimnya digunakan untuk mengesan dan meneutralkan periuk api di laluan maritim strategik.
Kata beliau, dalam konteks perkembangan geopolitik semasa, aset seumpama itu sering dikaitkan dengan operasi di laluan kritikal seperti Selat Hormuz yang kini menjadi titik panas dalam konflik ketenteraan AS-Iran.
“Bagaimana perkara ini selaras dengan dasar berkecuali negara. Kredibiliti Malaysia amat bergantung pada keselarasan antara prinsip yang disuarakan dengan pelaksanaan sebenar di lapangan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Takiyuddin Hassan

