Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengambil maklum kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengesahkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini terbatal.
Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pembatalan itu berlaku susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang menjejaskan asas undang-undang perjanjian tersebut.
Menurut beliau, perkembangan berkenaan namun menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar rundingan serta komitmen yang telah dibuat kerajaan di bawah perjanjian berkenaan sebelum ini.
Katanya, perkara itu penting kerana ia berpotensi memberi kesan kepada industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan serta kepastian dasar pelaburan negara.
Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, jelas beliau, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia menjadi semakin penting.
Takiyuddin turut menegaskan mana-mana perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional perlu ditangani dengan ketelusan dan penelitian institusi yang tinggi.
“Hakikat bahawa ART kini terbatal susulan perkembangan perundangan di AS mengesahkan kepentingan pendekatan yang lebih berhati-hati dan penelitian menyeluruh dibuat sebelum negara terikat dengan apa-apa komitmen perdagangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, PN menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera yang menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian tersebut.
Katanya, ia termasuk implikasi ekonomi dan diplomati kepada Malaysia serta langkah-langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan negara.
“Memandangkan isu ini melibatkan kepentingan perdagangan serta hubungan ekonomi strategik Malaysia dengan AS, maka PN juga berpandangan kerajaan wajar memanggil Sidang Khas Parlimen.
“Bagi membolehkan Ahli Parlimen diberikan taklimat penuh dan seterusnya membahaskan implikasi perkembangan terbaru ini secara terbuka dan bertanggungjawab,” katanya. – Oleh MYNEWSHUB
