Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain membidas pihak yang mengkritik Hannah Yeoh memakai tudung ketika menghadiri majlis umat Islam.
Beliau menyifatkan pendekatan sedemikian boleh menyebabkan orang bukan Islam dan juga orang Islam sendiri menjadi jauh daripada Islam.
Menurut beliau, kecaman bertali arus terhadap Hannah memakai tudung berlitup ketika menghadiri majlis di masjid tidak mencerminkan cara dakwah yang sepatutnya.
Katanya, orang ramai tidak sepatutnya terlalu cepat menuduh atau mempersoalkan niat seseorang hanya kerana perbezaan parti politik.
“Bila Hannah pakai tudung berlitup macam tu kita kecam dia, kita kata dia berlakon, nak tunjuk baik dan sebagainya. Tidak ada hati yang nak simpan sikit ‘husnuzon’ dan sebagainya kalau bukan Islam mengenakan pakaian yang nampak Islam, kita tuduh macam-macam.
“Sepatutnya kita ni lapang dada, rasa syukur kerana bukan Islam pun hari ini mula untuk memahami,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.
Wan Mahussin berkata, sikap sedemikian boleh menyebabkan masyarakat muak dengan cara pendekatan yang terlalu keras dan penuh sangkaan buruk.
Beliau menjelaskan bahawa sebagai orang Islam, sepatutnya masyarakat bersangka baik dan mendoakan agar seseorang itu benar-benar diberi hidayah, bukannya terus menghina atau mempersendakan.
“Saya bukan nak ‘backup’ sangat, tapi cara dakwah kita ni bukan cara Nabi. Patutnya kita doakan, kalau daripada berlakon akhirnya Allah jentik hati dia untuk terima Islam, itu baru betul dakwah,” katanya.
Beliau turut menegur budaya menghukum dan membuli dalam agama yang menurutnya semakin ketara sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa perkara tersebut menjadi isu sedangkan sebelum ini ia tidak dipersoalkan.
“Kalau dulu Hannah Yeoh sebagai ahli Parlimen DAP bersama Pakatan Rakyat elok sahaja pakai tudung, tak ada isu pun. Hari ini bila dia pakai tudung kita kecam dia, kita hina dia,” katanya.
Beliau turut membangkitkan pemimpin pembangkang memakai pakaian traditional kaum Cina dan India tidak pula didakwa sebagai berlakon untuk menarik undi.
Wan Mahussin menambah bahawa tudung bukan milik eksklusif mana-mana kaum dan pemakaiannya juga tidak seharusnya dijadikan bahan serangan selagi ia menunjukkan rasa hormat kepada masyarakat Islam.
‘Kalau nak cakap kena pakai berlitup tudung macam tu kita nak cakap satu penghinaan kepada agama, Kristian ortodok pun bertutup. Adakah tudung itu milik Melayu atau milik Islam atau tudung itu adalah milik bersama? Janganlah kita eksklusifkan.
“Melainkan satu penghinaan dia pakai tudung buat-buat solat, itu lain cerita, tapi dia pakai tudung untuk menunjukkan rasa hormat dia kepada rakan-rakan Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan permainan sentimen kebencian dan sebaliknya mengamalkan pendekatan dakwah yang lebih berhemah, penuh kasih sayang serta mendoakan kebaikan.
“Bukankah lagi baik dia pakai tudung, nanti kita cakap dia tak hormat bulan puasa, tak hormat orang Islam. Komen begini dikata penjilat DAP. itulah dakwah kita hari ini. Buka mata, buka minda,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wan Mahusin Offical


