Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – PAS pernah bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, tapi ketika itu tidak kedengaran label ‘syaitan’ atau pengkhianatan kepada Islam.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kerjasama PAS-DAP itu sebahagian daripada sejarah politik yang tidak boleh dipadam.
Justeru, katanya, pendirian PAS menolak gagasan ‘Rumah Bangsa’ dengan melabelnya sebagai ‘tipu daya syaitan’ keterlaluan dan membongkar sikap sebenar PAS.
“Rumah Bangsa hanyalah satu usaha membuka pintu dialog bagi meredakan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing, namun PAS memilih untuk menutup pintu tersebut sebelum perbincangan pun bermula.
“Sikap ini menimbulkan persoalan besar. jika PAS benar-benar ikhlas memperjuangkan perpaduan Melayu-Islam seperti yang sering mereka laungkan, mengapa usaha untuk duduk berbincang demi perpaduan bangsa pun ditolak mentah-mentah?,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengingatkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan parti-parti politik mencari jalan membentuk kerajaan perpaduan demi kestabilan negara.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada perpaduan, PAS menolak. Apabila usaha dialog politik Melayu dibuka melalui gagasan Rumah Bangsa, PAS sekali lagi menolak.
“Namun pada masa yang sama, PAS terus melaungkan bahawa Melayu dan Islam sedang terancam,” katanya.
Menurutnya, sekiranya benar wujud ancaman terhadap Melayu-Islam, maka usaha perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan.
Kata beliau, politik berasaskan ketakutan dan perpecahan tidak akan menguatkan bangsa atau memartabatkan agama.
“Rakyat berhak menilai siapa sebenarnya yang menjadi ancaman kepada perpaduan Melayu dan keharmonian umat Islam di negara ini,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Parti Amanah Negara


