Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa syukur selepas genap empat tahun diberi amanah untuk memimpin kerajaan negeri.
Beliau berkata, tempoh tersebut merupakan satu perjalanan penuh cabaran, namun Johor berjaya mencatat pelbagai pencapaian penting khususnya dalam aspek ekonomi dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai tidak akan terlaksana tanpa limpah perkenan serta kepercayaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas segala limpah perkenan serta kepercayaan yang telah diberikan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas sokongan serta nasihat agar negeri itu terus diurus dengan amanah dan penuh tanggungjawab.
“Menjunjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas sokongan dan nasihat agar negeri ini diurus dengan amanah dan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.
Onn Hafiz berkata, sepanjang empat tahun pentadbirannya, Johor berjaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan hasil kejayaan menarik pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit.
Katanya, perkembangan tersebut sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi Johor sehingga negeri itu semakin mendapat perhatian pelabur dari seluruh dunia.
Selain aspek ekonomi, beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor, Perumahan Kasih Johor, bantuan pendidikan, kesihatan, pembangunan belia serta sokongan kepada para usahawan.
Bagaimanapun beliau menegaskan segala pencapaian itu bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerja keras seluruh pasukan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, tempoh empat tahun tersebut hanyalah sebahagian daripada perjalanan Johor menuju negeri maju menjelang tahun 2030.
“Saya sedar dan insaf, empat tahun ini hanyalah sebahagian daripada perjalanan Johor menuju negeri maju menjelang 2030.
“Kerajaan negeri akan terus bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab supaya setiap usaha yang kita lakukan hari ini dapat membina masa depan yang lebih baik untuk Bangsa Johor,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz


