Oleh Mynewshub
Negara haram Israel dilaporkan berdepan ribut debu luar biasa apabila langit di Tel Aviv dan beberapa kawasan tengah bertukar oren pekat, sekali gus mencetuskan suasana suram yang disamakan ramai netizen seperti adegan filem kiamat.
Menurut laporan media tempatan, fenomena itu berpunca daripada sistem tekanan rendah padang pasir yang membawa debu dari arah Sinai bersama angin kencang sehingga 100 kilometer sejam, menyebabkan jerebu tebal, jarak penglihatan merosot dan kualiti udara jatuh ke tahap tinggi hingga sangat tinggi.
Lebih memburukkan keadaan, gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di beberapa kawasan di selatan Israel termasuk Negev selepas infrastruktur elektrik rosak dan talian putus akibat cuaca ekstrem.
Bekalan elektrik juga dilaporkan terjejas di Rosh HaAyin.
Rakaman-rakaman yang tular kini memperlihatkan Tel Aviv bukan lagi seperti bandar moden biasa, sebaliknya seakan tenggelam dalam lautan debu tebal berwarna jingga yang menyesakkan.
Bagi ramai, inilah gambaran paling hampir kepada suasana “akhir zaman” yang benar-benar berlaku di depan mata.-MYNEWSHUB

