Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati menggunakan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later – BNPL) kerana komitmen kecil yang kelihatan ringan boleh bertukar menjadi beban hutang sekiranya tidak diurus dengan baik.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ramai pengguna memilih BNPL kerana tawaran tanpa faedah serta pembayaran secara ansuran yang dilihat lebih mudah.
Menurut beliau, konsep tersebut menyebabkan ramai beranggapan komitmen bulanan yang kecil tidak memberi kesan besar kepada kewangan mereka.
“Sekarang semua orang guna BNPL sebab zero interest-nya. Beli sekarang, bayar 3 atau 4 bulan. Nampak ringan? Contohnya sofa RM1,000, bayar RM333 saja sebulan, tak terasa.
“Masalahnya bukan pada RM333 itu. Masalahnya bila kita buat benda yang sama untuk empat atau penjual barang, RM333 jadi RM1,200. Komitmen yang terkumpul,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.
Tambah beliau, walaupun sambutan perayaan hanya berlangsung selama sebulan, komitmen bayaran ansuran boleh berlarutan sehingga beberapa bulan selepas itu.
“Rayanya cuma sebulan tapi ansuran boleh jalan sampai 3 hingga 6 bulan. Kalau lambat bayar, zero interest itu hilang maknanya.
“Kalau barang RM1,000, late fee boleh cecah RM200-RM300. Kalau beli barang kecil RM100, miss bayar je dah kena RM20-RM30,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan penggunaan BNPL semakin meluas dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah kerana proses kelulusan yang lebih mudah berbanding pinjaman bank atau kad kredit.
“Majoriti pengguna golongan muda dan ramai daripada kumpulan berpendapatan rendah. Kenapa anak muda paling banyak guna? Sebab BNPL ni mudah lulus.
“Tak macam bank, tak macam kad kredit. Tak ada kad, tak ada sejarah kredit, tak apa, masih boleh beli,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi golongan B40, kemudahan tersebut sering dilihat sebagai penyelesaian kewangan jangka pendek untuk membeli barangan keperluan.
“Dan untuk B40, BNPL nampak macam penyelamat jangka pendek. Nak beli phone, nak beli barang rumah, nak renovate sikit untuk raya,” katanya.
Beliau turut mendedahkan jumlah transaksi BNPL di negara ini mencecah sekitar RM21 bilion pada tahun 2025 dengan baki hutang tertunggak hampir RM5 bilion.
“Di Malaysia ni transaksi BNPL tahun 2025 sekitar RM21 bilion. Outstanding hutang BNPL hampir RM5 bilion. RM5 bilion tu bukan angka kecil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah meluluskan Akta Kredit Pengguna 2025 bagi memperkemaskan pemantauan terhadap industri tersebut.
“Consumer Credit Act 2025 dah diluluskan dan dijangka mula berkuat kuasa tahun ini. Bila akta ini jalan, penyedia BNPL kena buat penilaian kemampuan bayar dulu sebelum luluskan pembiayaan.
“Kena telus tentang caj dan terma dan akan ada Suruhanjaya Kredit Pengguna untuk pantau industri ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengguna masih perlu bertanggungjawab dalam mengurus kewangan sementara sistem kawal selia itu diperkukuh.
“BNPL ni tak jahat, dia cuma alat. Kalau pandai guna untung, tak pandai guna rugi,” katanya.
Mengulas mengenai trend perbelanjaan menjelang Hari Raya, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan tekanan sosial sehingga berbelanja melebihi kemampuan.
“Tak salah nak bergaya, tapi jangan sampai raya sebulan hutangnya sampai hujung tahun.
“Sebelum swipe, tanya diri. Kalau tak ada BNPL, saya tetap beli tak? Kalau bonus tak masuk, saya masih boleh bayar tak?” katanya.
Beliau menambah, kemeriahan sambutan perayaan tidak seharusnya diukur melalui barangan atau hiasan yang dibeli.
“Raya bukan pertandingan hiasan. Yang orang ingat bukan sofa kita, yang orang ingat cara kita layan orang.
“Raya datang setahun sekali, ansuran datang tiap-tiap bulan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Tengku Zafrul


