Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ramai beranggapan negara pengeluar minyak seperti Malaysia akan meraih keuntungan besar apabila harga minyak dunia meningkat.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, hakikatnya situasi itu tidak semudah yang disangka.
Beliau menjelaskan, Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan bercampur kerana walaupun pendapatan kerajaan meningkat, kos subsidi juga bertambah.
‘Sebagai contoh, pada tahun 2022, Petronas membayar kira-kira RM50 bilion dividen kepada kerajaan, namun kerajaan pada masa sama menanggung subsidi sekitar RM60 bilion.
“Maknanya kerajaan masih perlu menambah kira-kira RM10 bilion lagi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Tengku Zafrul berkata, kenaikan harga minyak biasanya membawa kepada kemungkinan kenaikan harga barang.
Kata beliau, apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan juga akan naik sekali gus menyebabkan harga barang import menjadi lebih mahal apabila sampai ke Malaysia.
Tambah beliau, barang yang dihasilkan dalam negara juga boleh terkesan kerana banyak bahan mentah dan komponen diperoleh dari luar negara.
Katanya lagi, kesan seterusnyaa adalah ekonomi dunia boleh menjadi lebih perlahan apabila kos operasi perniagaan meningkat.
Jelasnya, situasi itu menyebabkan ada syarikat mengurangkan pengeluaran atau menangguhkan pelaburan, sekali gus menjejaskan permintaan terhadap eksport Malaysia.
Beliau turut memaklumkan satu lagi cabaran besar adalah ketirisan subsidi terutama apabila harga petrol RON95 petrol di Malaysia sekitar RM1.99 seliter jauh lebih rendah berbanding negara jiran.
Beliau berkata, harga petrol di Singapura hampir RM10 seliter, di Laos sekitar RM7 seliter manakala di Thailand melebihi RM5 seliter.
“Apabila perbezaan harga terlalu besar, wujud risiko ketirisan dan penyeludupan bahan api ke negara jiran.
“Sebab itu kerajaan kini bergerak ke arah subsidi yang lebih bersasar supaya bantuan dapat disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu juga mampu mengurangkan ketirisan sekali gus membolehkan penjimatan digunakan semula bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Laman Media Sosial Tengku Zafrul


