Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berpandangan tiada sebab untuk UMNO memutuskan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Dakwa beliau, walaupun kerjasama UMNO melibatkan 17 parti lain termasuk DAP, segala agenda berkaitan Melayu dan Islam dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah.
“Nasib baik UMNO dalam Kerajaan Madani, sekurang-kurangnya nasib orang Islam dan Melayu terjaga.
“Malah peruntukan untuk agenda pemerkasaan Islam dan bumipurera meningkat dengan amat ketara,” dakwanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Lokman seterusnya mendakwa, kerjasama tersebut juga memberi kelebihan kepada UMNO termasuk peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)
Menurutnya, melalui kerjasama berkenaan, UMNO berpeluang bertanding lebih 85 kerusi selain berpotensi memenangi lebih banyak kerusi dengan sokongan pengundi daripada pelbagai kaum.
Lokman turut mendakwa kebimbangan terhadap kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH datang daripada pihak yang tidak mahu melihat gabungan tersebut terus kukuh menjelang PRU16.
Beliau juga mendakwa kerjasama BN dan PH boleh menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi pilihan raya akan datang sekiranya hubungan kedua-dua gabungan itu terus diperkukuhkan.
“Jika BN dan PH kekal bersahabat bagi berhadapan PRU16, harapan PN untuk menang PRU16 akan musnah.
“Hari ini di bawah pentadbiran Anthony Loke dan DAP dalam Kerajaan Madani, UMNO dan kerajaan tiada masalah memperkasakan agenda Islam dan Melayu,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info Dan Foto: FB Lokman Noor Adam Official


