Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Satu rakaman video dipercayai insiden serangan ke atas pendakwah bebas, Zamri Vinoth tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 18 saat itu turut dikongsikan oleh Zamri Vinoth di laman media sosial beliau hari ini.
Berdasarkan rakaman itu, sebuah kereta dilihat sedang parkir di bahu jalan sebelum dihampiri sekumpulan lelaki.
Turut kelihatan sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki berada di sisi hadapan kereta tersebut.
Kenderaan itu bertindak memecut keluar dari parkir tersebut selepas salah seorang lelaki berkenaan dilihat seperti cuba membuka pintu kereta.
Kejadian itu menyebabkan motosikal yang berada di sisi hadapan kereta tersebut terjatuh akibat dirempuh.
Terdahulu, Zamri Vinoth dalam satu hantaran di media sosial hari ini mendakwa diserang oleh sekumpulan individu.
Kumpulan tersebut didakwa bersenjatakan kayu dan batu ketika beliau berada dalam kereta berkenaan.
“Depa cuba nak serang hendap ana menyorok. Ana sempat langgar dua orang.
“Depa bawa kayu, batu menghendam dan buat percubaan untuk pukul,” dakwanya.
Zamri Vinoth berkata, beliau namun bersyukur tidak tercedera, tetapi cermin keretanya pecah.
Beliau turut menyifatkan pihak yang menyerangnya itu bersikap seperti pondan (penakut) – MYNEWSHUB


