Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menyindir Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilaporkan berkata beliau tidak mengenali individu bernama Isham Jalil.
Dalam kenyataan bernada sinis di media sosial, Isham mendakwa Ahmad Zahid mungkin ‘mudah lupa’ selepas menjalin kerjasama politik dengan DAP.
“Saya fahamlah sejak dia berkawan dengan DAP ini dia mudah lupa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau tidak mengenali serta mengetahui individu bernama Isham Jalil.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan kritikan Isham Jalil terhadapnya yang mengajak ahli UMNO yang telah dipecat kembali semua kepada itu.
“Saya tidak kenal dia lah dan saya tidak pernah tahu dia,” jawab Ahmad Zahid secara ringkas.
Isham seterusnya berkata, beliau pernah memberi sokongan kepada Ahmad Zahid ketika Presiden UMNO itu berdepan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
“Masa dia ditahan di lokap SPRM dulu saya teman anak bini dia berucap di luar pejabat SPRM pun dia sudah lupa. Masa itu penjilat dia yang ada sekarang ini lari bertempiaran menghilang,” katanya.
Isham turut menyifatkan Ahmad Zahid sebagai jenis rakan yang hanya mengingati orang ketika susah, tetapi cepat melupakan mereka apabila berada dalam keadaan senang.
“Ini jenis kawan dia ingat kawan masa dia susah saja, masa dia senang dia cepat lupa. Betullah Tun Mahathir Mohamad kata Melayu mudah lupa,” katanya secara sinis.
Beliau juga menyindir Zahid dengan merujuk keputusan kes mahkamah yang berakhir dengan status NFA, selain secara sinis mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO itu.
“Mentang-mentang dah dapat NFA. Tahniahlah. Bakal PM-11. All the best. PRU-16 nanti kan kamu menang besar. Berapa kerusi? 115?” katanya. – MYNEWSHUB


