Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluahkan kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dianggap tidak seimbang terutama jika dibandingkan dengan hukuman kes-kes serupa sebelum ini.
FAM berkata, alasan penuh bagi keputusan tersebut masih belum dikeluarkan oleh CAS, maka sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan itu akan dibuat selepas butiran tersebut diteliti.
“Keputusan ini amat mengecewakan, terutama bagi para pemain yang tidak ada kaitan langsung dengan pentadbiran. Mereka hanya fokus kepada prestasi di padang.
“Mereka adalah warganegara Malaysia, dianugerahkan kewarganegaraan mengikut undang-undang negara, namun kini terpaksa menanggung kesan hukuman ini,” kata FAM dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, FAM mengesahkan telah menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan oleh CAS berhubung rayuan difailkan oleh FAM dan tujuh pemain tersebut.
Menurut FAM, rayuannya ditolak, rayuan para pemain pula diterima sebahagiannya dengan hukuman mereka dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi.
Kata FAM, spanjang prosiding itu, FAM telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyelian yang berlaku dan siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta FIFA masih berjalan.
“FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan,” kata kenyataan itu.
FAM seterusnya mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh sukar tersebut.
“Pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya dan akan terus berusaha keras demi bola sepak Malaysia,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB


