Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berhubung calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin panas.
Ia selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar secara sinis menyindir bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan calon Perdana Menteri gabungan itu.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons balas terhadap kenyataan terdahulu Presiden Bersatu berkenaan yang menegaskan bahawa Ahmad Samsuri hanyalah Pengerusi PN dan bukan calon Perdana Menteri.
Menurut Ahmad Samsuri, beliau menerima banyak pertanyaan daripada wartawan mengenai kenyataan tersebut.
“Saya mendapat banyak pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘Dr Sam adalah Pengerusi PN dan bukan calon PM’.
“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan PN dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.
“Yang pasti TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga bukan lagi calon PM (Perdana Menteri),” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik yang melihat ia sebagai bayangan wujudnya perbezaan pandangan dalam kepimpinan PN berhubung individu yang bakal diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.
Setakat ini kepimpinan tertinggi gabungan itu belum membuat sebarang pengumuman rasmi calon Perdana Menteri sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada masa depan. – MYNEWSHUB


