IPOH – Misteri kehilangan seorang lelaki selepas dipercayai terjatuh di Empangan Sultan Azlan Shah pada 27 Februari lalu akhirnya terungkai apabila mayat mangsa ditemui terapung di kawasan empangan itu hari ini.
Mangsa berusia 32 tahun ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut sekitar jam 11.22 pagi daripada pihak pengurusan empangan.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang lelaki terapung di permukaan air dan dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian sebelum ini.
“Ketua operasi kemudian menjalankan penilaian keadaan sebelum mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PFD) bagi melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa,” katanya.
Operasi mengeluarkan mayat dijalankan menggunakan bot Whaly sebelum mangsa dibawa naik ke tebing menggunakan stretcher.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh turut digerakkan bagi membantu operasi sekiranya diperlukan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas berjaya dibawa naik.
Operasi yang melibatkan seramai 13 anggota bomba termasuk lima anggota PPDA itu tamat sepenuhnya sekitar jam 1.40 tengah hari.
Terdahulu dilaporkan, dua lelaki dipercayai berada di kawasan empangan berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam air dan dikhuatiri lemas.
Seorang lagi individu berjaya diselamatkan sebelum ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut.-MYNEWSHUB


