Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung membidas sikap segelintir pihak yang didakwa cuba ‘bermain watak mangsa’ serta menuntut pampasan walaupun melanggar undang-undang.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau membandingkan kes pencerobohan tanah dengan kes kecurian tabung masjid yang berlaku baru-baru ini.
“Tiada pun pencuri-pencuri tabung masjid itu ‘play victim’ membuat laporan polis terhadap masjid sehingga orang masjid ditangkap.
“Tiada pula pencuri ini ‘claim’ duit tabung masjid itu mereka dah letak sejak berpuluh atau beratus tahun,” katanya dalam nada sinis.
Menurut beliau, pencuri terbabit juga tidak mengadakan sidang media, memfailkan injunksi mahupun menuntut pampasan selepas ditangkap.
Firdaus Wong berkata, pihak berkuasa tidak perlu pun berbincang soal pampasan dengan penceroboh tanah kerana perbuatan mereka sama seperti pencuri tabung masjid.
“Pihak berkuasa tidak berbincang dengan pencuri tabung masjid tentang pampasan. Kenapa penceroboh tanah pula kena berbincang?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa jika perbuatan itu jelas melanggar undang-undang, tindakan sewajarnya adalah penahanan dan pendakwaan tanpa melayan sebarang polemik.
“Dah jelas mereka mencuri, terus ditahan dan didakwa. Begitu juga dengan penceroboh tanah dan pemilik binaan haram.
“Tangkap dan dakwa. Tak perlu layan sinetron, drama atau cerita konon mereka mangsa dan dipolemikkan menjadi isu perkauman dan agama,” katanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Firdaus Wong Wai Hung


