Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Usul pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun gagal diluluskan di Parlimen hari ini disifatkan sebagai satu tamparan hebat pada kerajaan.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, kegagalan itu mencetuskan persoalan besar terhadap keupayaan lerajaan mengurus sokongan ahli Dewan Rakyat.
Kata beliau, walaupun kehadiran hampir penuh direkodkan, pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga iaitu sekurang-kurangnya 148 ahli Parlimen untuk diluluskan.
“Ini adalah satu kegagalan pentadbiran yang memalukan. Kerajaan sepatutnya memastikan semua Ahli Parlimen menyokong dan hadir sepenuhnya ketika pengundian penting seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Wong Chen berkata, keputusan undian berdasarkan rekod rasmi menunjukkan Ahli Parlimen yang bersetuju 146, berkecuali (44), manakala tidak hadir (32)
Kata beliau, walaupun tiada undi menolak direkodkan, jumlah 146 undi menyokong masih tidak mencukupi untuk melepasi ambang dua pertiga yang ditetapkan.
Wong Chen turut mempersoalkan jumlah sebenar Ahli Parlimen kerajaan yang gagal hadir ketika pengundian dijalankan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa semua Ahli Parlimen PKR hadir dan mengundi menyokong usul tersebut. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Wong Chen


