Oleh Mynewshub
SHAH ALAM – Polis akan memanggil Pengerusi Pasukan Tindakan Pemeliharaan Kuil (Tepat), Arun Dorasamy susulan laporan yang dibuat oleh beberapa pihak terhadapnya membabitkan isu kuil di Rawang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan dikeluarkan Arun.
“Laporan itu berkenaan ketidakpuasan hati berkaitan kenyataan yang dibuat oleh individu itu. Kita sedang menjalankan siasatan dan kes dirujuk sebagai ROR (refer other report), iaitu merujuk kepada kes awal melibatkan isu kuil terbabit,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak lapan laporan polis dibuat di IPD Gombak oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Arun mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung isu kuil berkenaan. – MYNEWSHUB


