Oleh Mynewshub
PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan pembaharuan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. untuk tempoh 10 tahun bermula esok hingga 2 Mac 2036,
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pembaharuan lesen peringkat pengendalian penuh (FOL) itu namun dengan syarat lebih ketat dan semakan menyeluruh selepas lima tahun.
Menurut beliau, tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu dibenarkan, dan pengeluaran residu radioaktif Water Leach Purification (WLP) mesti dihentikan sepenuhnya selepas lima tahun.
“Semua residu yang dihasilkan dalam tempoh itu perlu dinetralkan hingga tahap kurang daripada 1 Bq/g, menjadikannya bukan lagi residu radioaktif tetapi residu terkawal.
“Langkah ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menghentikan pengumpulan residu radioaktif secara berterusan di negara ini menjelang 2031,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.k
Lih Kang berkata, MOSTI menekankan bahawa tempoh lima tahun diberikan bagi Lynas menyesuaikan peralatan dan memindahkan teknologi R&D ekstraksi thorium dari makmal ke tahap industri.
Selain itu, syarikat diwajibkan mengekalkan satu peratus daripada jualan kasar tahunan untuk R&D, dan memperkukuh kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan.
Kata beliau, MOSTI dan Jabatan Tenaga Atom akan memantau pematuhan lesen secara berterusan, termasuk keselamatan sinaran dan pengurusan alam sekitar.
Tambah beliau, kerajaan juga menekankan kepentingan industri nadir bumi (REE) terhadap ekonomi, tetapi keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar tetap menjadi keutamaan. – MYNEWSHUB


