Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan berjumlah RM67.1 bilion.
Bagi Simpanan Shariah pula, kadar dividen adalah sama iaitu 6.15 peratus, dengan jumlah agihan sebanyak RM12.5 bilion.
KWSP dalam satu hantaran di media sosial menyebut, pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan agihan bagi tahun 2025 sebanyak RM79.6 bilion.
“Ahli KWSP digalakkan menyemak penyata dividen masing-masing melalui i-Akaun, sama ada melalui laman web rasmi atau aplikasi KWSP, bermula 28 Februari 2026,” kata KWSP.
Bagi mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelaburan dan dividen KWSP 2025, boleh merujuk laman web rasmi KWSP.
Susulan pengumuman tersebut, perhatian kini terarah kepada kemungkinan kerajaan memenuhi permintaan orang ramai supaya dividen itu dimasukkan ke dalam Akaun 3 pencarum.
Langkah tersebut diwar-warkan sebagai dapat meringankan beban rakyat tanpa menjejaskan simpanan pokok pencarum. – MYNEWSHUB


