NILAI — Lelaki warga emas dikenali sebagai ‘Ayang’ yang sebelum ini berdepan lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Nilai disahkan meninggal dunia pada Jumaat ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya memaklumkan, lelaki berkenaan, Yeoh Hock Sun, 63, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 malam, dengan kematian itu dimaklumkan oleh anggota pengiring dari Penjara Kajang.

Menurut beliau, punca kematian dikenal pasti akibat refractory shock, iaitu keadaan renjatan kritikal yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard telah diberikan secara optimum.
Sebelum ini, pada 9 Januari lalu, tertuduh terpaksa didakwa di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, memandangkan masih menjalani rawatan susulan kecederaan yang dialami akibat letupan yang berlaku pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikemukakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Yeoh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi L200 Triton milik seorang lelaki berusia 47 tahun.
Kejadian itu didakwa berlaku pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 5.55 pagi, di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai.
Berikutan perbuatan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa ia bertujuan untuk menyebabkan kecederaan.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada tarikh sama antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, masing-masing di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma, di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin.
Bagi pertuduhan tersebut, Yeoh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4 akta sama kerana didakwa menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) secara salah dan dengan niat jahat sehingga boleh mendatangkan kecederaan.
Kes berprofil tinggi ini sebelum ini mencetuskan kebimbangan awam berhubung aspek keselamatan, khususnya melibatkan penggunaan bahan letupan buatan sendiri di kawasan perumahan.- MYNEWSHUB


