OLEH MYNEWSHUB
JOHOR BAHRU – Tiga lelaki yang beraksi di sebalik maskot katak dicekup dalam operasi khas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.
Operasi yang digerakkan Unit Penguat Kuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru itu dijalankan dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam, susulan peningkatan kes pengemis mengambil kesempatan menggunakan kostum maskot bagi meraih simpati orang ramai, khususnya sepanjang Ramadan.
Antara lokasi tumpuan ialah persimpangan lampu isyarat Plaza Angsana serta Jalan Paid Emas 1, yang dikenal pasti sebagai kawasan aktif kegiatan mengemis.
Menurut kenyataan JKM, ketiga-tiga lelaki berkenaan dikesan berada di persimpangan lampu isyarat dan di bahagian pembahagi jalan, sebelum dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut dan pengambilan maklumat latar belakang.
“Hasil operasi, ketiga-tiga individu dibebaskan selepas diberi amaran lisan dan bertulis,” menurut kenyataan itu.
JKM turut menegaskan tindakan lebih tegas boleh diambil di bawah Akta Orang Papa 1977 sekiranya mereka mengulangi perbuatan sama selepas menandatangani aku janji di hadapan pegawai penguat kuasa.
Sebelum ini, kegiatan kumpulan pengemis bermaskot katak menjadi tular apabila dikesan berlegar di kawasan tumpuan awam bagi mendapatkan wang secara mudah, terutama ketika orang ramai sibuk membuat persiapan berbuka puasa. –MYNEWSHUB
