Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan suspek kes memuat naik gambar memijak al-Quran di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang semalam.
Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, selain siasatan oleh pihak polis, individu tersebut turut disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]
“Tindakan ini diambil susulan penularan satu kandungan di platform Threads yang dimuat naik menggunakan nama akaun “ryandaselva”, memaparkan perbuatan memijak al-Quran.
“Kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MCMC, jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru, MCMC menyeru orang ramai dingatkan agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara. – MYNEWSHUB


