Oleh Mynewshub
TAHUN lalu sebuah syarikat pengendali stesen radio dikompaun RM250,000 kerana satu video yang dikatakan mempersenda tarian kavadi Hindu.
Video tersebut dimuat naik di akaun rasmi TikTok stesen berkenaan dan dianggap sebagai kandungan jelik melampau.
Kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Undang-undang adalah jelas. Harga sebuah kesilapan.
Tiga penyampai radio berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terguris di Kuil Batu Caves.
Wajah mereka tunduk. Negara melihat satu kandungan hiburan bertukar menjadi isu nasional dalam sekelip mata.
Kes itu menjadi contoh bahawa sensitiviti agama perlu dijaga tanpa mengira kaum dan agama di negara ini.
Kini timbul kes seorang penuntut universiti didakwa menghina Islam dengan memuat naik gambar memijak al-Quran di media sosial.
Reaksi awam sangat jelas marah lagi kecewa. Laporan polis dibuat dan tuntutan agar tindakan tegas diambil bergema.
Netizen mula membandingkan. Syarikat media dikenakan RM250,000, apakah pula ukuran untuk kes terbaru?
Adakah hukuman nanti akan seiring dengan semangat ketegasan sebelum ini?
Rakyat sedang menunggu dengan mata yang tidak berkelip. – MYNEWSHUB


